Segerakan RUU anti lompat parti

KUALA LUMPUR 27 Mei – Pemuda UMNO hari ini turut menggesa pelaksanaan undang-undang anti lompat disegerakan kerana tindakan melompat parti oleh ahli Parlimen menyebabkan ketidakstabilan dalam negara.

Ketuanya, Dr Asyraf Wajdi Dusuki, mendakwa ketidakstabilan dalam negara pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) berpunca daripada lompat-melompat dalam kalangan ahli Parlimen yang dipilih rakyat, namun mengkhianati mandat rakyat.

“Sejak PRU-14, sudah 40 Ahli Parlimen melompat,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, malam tadi.

Semalam Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menggesa pelaksanaan undang-undang anti lompat disegerakan kerana tindakan melompat parti oleh ahli Parlimen menyebabkan ketidakstabilan dalam negara.

Kenyataan PH itu susulan Ahli Parlimen Ampang,  Zuraida Kamaruddin, mengumumkan penyertaannya dalam Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Tindakan itu menjadikan Zuraida sudah dua kali bertukar parti selepas ‘Langkah Sheraton’ apabila bertindak keluar PKR dan menyertai Bersatu dan kini menyertai  PBM.

Majlis Presiden PH dalam kenyataannya menggesa agar Perdana Menteri,  Ismail Sabri Yaakob, mengadakan sidang khas Parlimen secepat mungkin bagi membahaskan rang undang-undang (RUU) anti lompat parti.

Dalam kenyataan bersama itu, Perdana Menteri sebelum ini sudah beberapa kali memberikan komitmen untuk membahaskan RUU itu, namun ia belum dilaksanakan lagi.

“Selain RUU, sidang khas Parlimen ini juga harus membincangkan permasalahan dihadapi rakyat ketika ini antaranya kos sara hidup dan inflasi.

“Juga harus dibincangkan adalah mengenai pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengesan beberapa pembelian untuk sektor perkhidmatan kesihatan negara ketika pandemik Covid-19 melanda, terpalit dengan rasuah.

“Justeru, Majlis Presiden menggesa Perdana Menteri untuk bertindak secepat mungkin bagi membolehkan kesemua perkara ini dibahaskan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu dibuat oleh Anwar Ibrahim dari Parti Keadilan Rakyat (Keadilan), Mohamad Sabu dari Parti Amanah Negara (Amanah), Loke Siew Fook dari Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Madius Tangau dari Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).

Related posts

Leave a Comment