Saringan Kesihatan Nasional Julai ini

PUTRAJAYA 27 Mei – Kementerian Kesihatan (KKM) akan melancarkan inisiatif Saringan Kesihatan Nasional Julai ini, bagi mengesan kes penyakit yang tidak berjangkit (NCD) dalam negara, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, sasaran 1.5 juta orang berumur 40 tahun ke atas yang tidak pernah menjalani saringan kesihatan sebelum ini, diberi pemeriksaan kesihatan percuma, termasuk ujian darah dalam najis (FOCB) untuk kanser kolorektum dan saringan kanser payudara di klinik awam dan swasta.

“Kita kini perlu melihat banyak prosedur perubatan dan pembedahan yang tertunda sejak dua tahun lalu dan satu daripadanya adalah pemeriksaan kesihatan. Jumlah saringan kesihatan kita sejak dua tahun lepas memang menurun,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada perhimpunan Strategic Roundtable on Behavioural Sciences for Better Health, Perhimpunan Kesihatan Sedunia (WHA) Sesi ke-75 di Geneva, Switzerland hari ini.

Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS), satu daripada lima orang dewasa atau 3.9 juta orang berumur 18 tahun ke atas di Malaysia menghidap diabetes; manakala tiga daripada 10 atau 6.4 juta orang mempunyai tekanan darah tinggi; dan empat daripada 10 orang atau lapan juta orang mengalami kolesterol tinggi.

Khairy berkata, KKM sedang menimbang untuk memperluaskan penggunaan aplikasi MySejahtera untuk NCD, termasuk untuk menetapkan tarikh janji temu pemeriksaan kesihatan.

Beliau yang juga Naib Presiden WHA ke-75 seterusnya menegaskan bahawa sains tingkah laku kini merupakan barisan pertahanan pertama dalam sistem kesihatan Malaysia kerana ia memainkan peranan besar dalam memerangi pandemik Covid-19.

Khairy berkata, pelaburan dalam unit tingkah laku adalah penting bagi setiap kementerian, pertubuhan atau kerajaan untuk mengumpul data, dan KKM telah menubuhkan unit baharu yang memfokuskan kepada kajian dorongan tingkah laku selain mempunyai Institut Penyelidikan Tingkah Laku Kesihatan (IHBR).

Beliau turut berkongsi pengalaman dan kejayaan Malaysia tentang bagaimana sains tingkah laku menyokong tindak balas negara terhadap Covid-19, sambil menjelaskan bahawa tiga fokus utama memberi kesan terhadap sains tingkah laku, iaitu mempunyai komunikasi yang jelas dan meyakinkan, mengeluarkan arahan yang boleh dilaksanakan, dan membentuk dorongan.

WHA, badan pentadbir utama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), ialah acara tahunan yang menghimpunkan menteri kesihatan, ketua pengarah kesihatan dan pakar dalam bidang itu, untuk mencapai kata sepakat mengenai pelaksanaan dasar, program, WHO, hala tuju, komitmen dan strategi baharu mengenai penjagaan kesihatan.

Sementara itu dalam hantaran melalui Facebooknya berkata, semasa  mempengerusikan sesi hari ini, WHA sebulat suara menerima keputusan mengenai Keadaan Kesihatan di Wilayah Palestin yang diduduki (occupied Palestinian territory) termasuk Baitulmaqdis timur & di Golan, Syria yang diduduki.

Keputusan yang dicapai dalam resolusi ini antara lain akan menyokong sektor kesihatan di Wilayah Palestin yang diduduki termasuklah bagi program pembinaan kapasiti, menaiktaraf infrastruktur asas perubatan, sumber manusia serta memastikan perkhidmatan kesihatan, alatan perubatan dan ubat-ubatan adalah mudah, murah dan berkualiti.

Selain itu, resolusi yang dicapai juga menggesa perlindungan ke atas populasi yang tercedera dan sedang menerima rawatan, semua pekerja kesihatan dan sukarelawan kemanusiaan termasuklah fasiliti, peralatan dan kelengkapan perubatan yang digunakan.

Related posts

Leave a Comment