Shanghai lapor kes baharu

SHANGHAI melaporkan kes baharu Covid-19 di luar kawasan yang dikuarantin, selepas lima hari merekodkan sifar kes sekali gus mencetuskan kemungkinan akan berlaku sekatan dan ujian saringan besar-besaran di satu-satu daerah.

Bagaimanapun, difahamkan, penutupan yang dilanjutkan sebelum ini dan dijadual berakhir pada 1 Jun, akan tetap dilaksanakan.

Hab komersial dengan 25 juta penduduk itu merekodkan tiga kes baharu dalam kalangan keluarga sama di daerah Qingpu dan, kesemua mereka sudah menerima vaksinasi dan jangkitan dikesan semasa melakukan saringan biasa.

Ketiga-tiga mereka masih belum meninggalkan daerah tersebut untuk tempoh 14 hari lepas, namun ada yang mengunjungi kawasan awam.

Susulan itu, lebih 200,000 orang digesa melakukan ujian saringan.

Sebelum ini pada 18 Mei lalu, Shanghai melaporkan tiada jangkitan Covid-19 baharu buat tiga hari berturut-turut, mencapai matlamat penting yang membolehkan mereka mula melonggarkan penutupan yang telah mencengkam hab kewangan China itu selama lebih enam minggu.

Pegawai pemerintah sebelum ini menyatakan tiada penularan Covid-19 dalam masyarakat tiga hari berturut-turut ialah prasyarat untuk mula mengurangkan sekatan dan menyambung aktiviti perniagaan secara meluas.

Mereka sebelum ini meletakkan sasaran mencapai prasyarat itu menjelang 20 Mei.

Pelaksanaan dasar sifar Covid-19 China – yang dilihat pada penutupan Shanghai dan sekatan ketat lain yang dikenakan di tempat lain – memperlahankan segala-galanya daripada perbelanjaan pengguna kepada perkilangan dalam ekonomi kedua terbesar dunia itu.

Related posts

Leave a Comment