KKM sudah jangka kenaikan kes

PUTRAJAYA 10 Mei –  Kementerian Kesihatan (KKM) sudah menjangkakan terdapat peningkatan kes baharu Covid-19 selepas minggu pertama Aidilfitri, kata Menterinya, Khairy Jamaluddin.

Beliau bagaimanapun berkata, masyarakat perlu membiasakan diri dengan situasi berkenaan iaitu terdapat peningkatan atau penurunan kes Covid-19 pada masa tertentu.

“Seperti diramalkan, terdapat sedikit peningkatan dalam kes selepas minggu pertama Syawal. Kita perlu membiasakan diri dengan penularan yang ada `pasang dan surutnya’.

“Selagi tahap keterukan masih rendah, kita boleh meneruskan peralihan ke fasa endemik,” katanya dalam ciapan di Twitter, hari ini.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah menjangkakan kes baharu Covid-19 akan meningkat selepas Aidilfirti namun majoriti adalah dalam Kategori Satu dan Dua.

Bagaimanapun, Dr Noor Hisham dilaporkan berkata, pihaknya mendapati angka harian Covid-19 selepas sempadan negara dibuka semula mulai 1 April lalu, mencatat trend menurun dengan 1,503 kes baharu, semalam.

Beliau berkata, situasi itu sekali gus menunjukkan sudah ada imuniti kelompok dalam masyarakat di negara ini.

Pada 4 Mei lalu, negara mencatatkan kes Covid-19 tiga angka iaitu sebanyak 922 kes. Kali terakhir negara mencatatkan kes harian tiga angka pada 29 Mac tahun lalu iaitu sebanyak 941 kes.

Selepas seminggu Aidilfitri, kes harian kembali melepasi 2,000 kes iaitu sebanyak 2,153 kes kelmarin dan 2,246 kes setakat semalam.

Sementara itu, Khairy dalam ciapannya yang lain memaklumkan walaupun akan beralih ke fasa endemik, pihaknya akan terus meningkatkan pengawasan genomik dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

“Lebih 4,000 penjujukan diserahkan kepada Global Initiative on Sharing Avian Influenza Data (GISAID) untuk April dan ia berupaya membantu pihak KKM mengetahui varian atau subvarian yang sedang menular di negara ini, seterusnya dapat membuat perancangan sewajarnya,” katanya.

Related posts

Leave a Comment