Singapura larang The Kashmir Files

SINGAPURA 9 Mei – Filem Hindi berjudul The Kashmir Files tidak akan ditayangkan di Singapura selepas pihak berkuasa yang menilai filem itu mendapati ianya ‘melampaui’ garis panduan klasifikasi filem.

Demikian menurut Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) dalam satu kenyataan bersama Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) dan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA).

Filem itu antara lain mengisahkan mengenai penganut Hindu yang meninggalkan secara beramai-ramai wilayah majoriti Muslim Kashmir yang dipertikaikan.

Ditayangkan di India pada Mac, ia merupakan kisah fiksyen seorang mahasiswa universiti yang mendapat tahu bahawa ibu bapanya yang beragama Hindu di Kashmir dibunuh semasa keganasan 1989 hingga 1990.

Ratusan ribu orang kehilangan tempat tinggal dan nyawa mereka selepas diusir dari Kashmir.

Di bawah garis panduan klasifikasi filem, “sebarang bahan yang memburukkan masyarakat berbilang kaum atau agama di Singapura” tidak akan menerima klasifikasi.

Mac lalu, Perdana Menteri Narendra Modi memuji filem itu, dengan mengatakan ia menunjukkan keadaan sebenar sejarah Kashmir yang ganas.

Bagaimanapun, pengkritik filem itu pula berpendapat ia mengandungi fakta tidak tepat dan mencetuskan sentimen antiMuslim.

Related posts

Leave a Comment