Rajapaksa letak jawatan PM

COLOMBO 9 Mei – Perdana Menteri Sri Lanka Mahinda Rajapaksa meletak jawatan hari ini selepas berpuluh-puluh orang dimasukkan ke hospital apabila penyokongnya dengan bersenjatakan kayu menyerang penunjuk perasaan.

Jurucakap Rajapaksa, Rohan Wewiwita berkata pemimpin berusia 76 tahun itu menyerahkan surat meletak jawatan kepada adiknya, Presiden Gotabaya Rajapaksa, membuka jalan bagi “pemerintah perpaduan baharu “.

“Saya meletakkan jawatan berkuat kuasa serta-merta supaya anda boleh melantik pemerintah semua parti untuk membawa negara ini keluar daripada krisis ekonomi sekarang,” kata perdana menteri itu dalam sepucuk surat.

Parti pembangkang terbesar di negara itu sebelum pertempuran menyatakan bahawa ia tidak akan menyertai mana-mana pemerintah yang diterajui anggota puak Rajapaksa.

Sejak berbulan-bulan kebelakangan ini, negara itu bergelut dengan masalah gangguan bekalan elektrik dan kekurangan makanan, bahan api dan ubat dalam krisis ekonomi terburuk sejak kemerdekaan, mencetuskan tunjuk perasaan antipemerintah- yang secara amnya diadakan secara aman.

Peletakan jawatan perdana menteri secara automatik bermakna Kabinet dibubarkan.

Pertempuran terbesar berlaku pada Isnin, sejak permulaan krisis meletus di Colombo apabila penyokong keluarga Rajapaksa mengamuk.

Polis melepaskan gas pemedih mata dan meriam air serta mengisytiharkan perintah berkurung serta-merta di Colombo yang kemudiannya diperluaskan untuk merangkumi seluruh negara kepulauan Asia Selatan itu yang mempunyai 22 juta penduduk.

Sekurang-kurangnya 78 orang yang cedera dimasukkan ke hospital, manakala

pegawai berkata skuad tentera rusuhan dikerah untuk membantu polis.

Related posts

Leave a Comment