Jangan padam TraceTogether

SINGAPURA 9 Mei – Orang ramai tidak seharusnya memadam aplikasi TraceTogether atau membuang token mereka kerana langkah pengurusan selamat berdasarkan status vaksinasi negara akan dipertingkatkan jika perlu.

Menteri Kesihatan Ong Ye Kung berkata, pemerintah mengambil sikap berhati-hati, ‘melonggarkan tetapi tidak menarik balik sepenuhnya’ langkah-langkah kesihatan awam.

“Jika keadaan memerlukan, kita perlu mempertingkatkan (langkah pengurusan selamat berdasarkan status vaksinasi), dan mengaktifkan semula TraceTogether dan SafeEntry,” katanya di Parlimen hari ini.

Beliau menambah bahawa ini bergantung kepada betapa buruknya keadaan dan “berdasarkan pertimbangan”.

“Kita perlu mengambil kira sama ada terdapat varian baru yang membimbangkan, sama ada ia lebih teruk atau lebih mudah berjangkit daripada Omicron, sama ada jangkitan lalu dan vaksin yang ada dapat terus memberikan perlindungan  terhadap varian baru itu, dan bagaimana semua itu menjejas kapasiti hospital,” kata beliau.

Beliau faham bahawa sebilangan anggota masyarakat mahu sebuah sistem yang telus dan faktor pencetus yang jelas tetapi ini tidak mungkin dalam krisis pandemik dengan penuh ketidaktentuan.

“Kita melakukan apa yang perlu untuk melindungi nyawa apabila bahaya menimpa kita, dan kita akan melonggarkan langkah-langkah apabila ia tidak lagi diperlukan, tidak lagi perlu, agar orang ramai dapat meneruskan kehidupan biasa mereka,” katanya.

Related posts

Leave a Comment