Kes harian tunjuk peningkatan

PUTRAJAYA 8 Mei – Kes harian Covid-19 di negara ini menunjukkan sedikit peningkatan semalam dengan merekodkan 1,372 berbanding 1,251 kelmarin menjadikan jumlah keseluruhan 4,456,736.

Menurut laman sesawang COVIDNOW, kes baharu yang dilaporkan itu membabitkan 1,367 penularan tempatan dengan lima lagi kes adalah import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Sehingga kini, terdapat 23,276 kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19.

Daripada jumlah itu sebanyak 22,146 kes atau 95.1 peratus sedang menjalani kuarantin wajib di rumah, selain itu sejumlah 1,025 kes sedang menerima rawatan di hospital; dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan alat bantuan pernafasan (46), ICU dan tidak memerlukan alat bantuan pernafasan (40) serta di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) (19).

Mengenai kes baharu yang dilaporkan semalam, data menunjukkan Selangor kekal menjadi negeri tertinggi melaporkan pertambahan kes baharu dengan 480 kes, diikuti Kuala Lumpur dengan 264 kes, Pulau Pinang (138), Negeri Sembilan (84), Perak (70), Melaka (60) dan Johor (57).

Turut mencatatkan kes baharu ialah di Sarawak dengan 49 kes, Kedah (46), Putrajaya (38), Pahang (25), Terengganu (23), Sabah (22), Kelantan (11), Perlis (tiga) dan Labuan (dua).

Dalam pada itu, sebanyak 3,610 kes sembuh dilaporkan semalam sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih daripada Covid-19 adalah sebanyak 4,397,881 kes.

Related posts

Leave a Comment