Elok pakai pelitup muka

PUTRAJAYA 2 Mei – Lindungi warga emas, pakai pelitup muka. Itu nasihat kepada orang ramai yang berada di tempat sesak, bagi melindungi golongan berisiko seperti warga emas dan kanak-kanak daripada jangkitan Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan,  Dr Noor Hisham Abdullah, berkata langkah itu adalah supaya sambutan Aidilfitri diraikan dengan selamat, meskipun pemakaian pelitup muka di kawasan luar bangunan tidak lagi diwajibkan.

Katanya, walaupun Malaysia sudah berada dalam fasa peralihan ke endemik, Covid-19 masih menjadi musuh utama dan usaha memeranginya tetap diteruskan.

“Sambutan Syawal kali ini adalah satu rahmat untuk kita meraikannya bersama keluarga, sanak saudara dan sahabat handai selepas dua tahun bergelut dengan pandemik Covid-19.

“Kementerian Kesihatan (KKM) juga ingin mengingatkan bahawa individu tidak bergejala berkemungkinan menjadi pembawa virus Covid-19.

Oleh itu, masyarakat digalak melakukan ujian kendiri sebelum pulang ke kampung untuk beraya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Orang ramai juga dinasihatkan mendapat rehat yang cukup sebelum memulakan perjalanan, memandu cermat dan tenang, mengawal perasaan marah serta mewujudkan suasana harmoni bersama keluarga ketika berada dalam kenderaan.

“Singgah di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) untuk mengurangkan stres dan gangguan emosi. Semoga semua selamat tiba di destinasi masing-masing serta dapat menyambut Aidilfitri dengan meriah dan selamat bersama keluarga,” katanya.

Beliau juga menasihati orang ramai agar terus mematuhi saranan serta nasihat kesihatan, iaitu mengelakkan 3S (kawasan sesak dan sempit serta berbual pada jarak dekat).

“Selain itu, amalkan konsep 3W, iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun; memakai pelitup muka; serta mematuhi amaran dan menjalani ujian COVID-19 sekiranya bergejala,” katanya.

Related posts

Leave a Comment