Perlis benarkan bersalam

ARAU 29 April – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) tiada halangan membenarkan jemaah solat, termasuk solat sunat Aidilfitri untuk bersalaman, mulai 1 Mei ini.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, bertitah, jemaah diminta mematuhi SOP seperti memakai pelitup dan hendaklah sentiasa mencuci atau membersihkan tangan.

Dalam satu kenyataan, baginda yang juga Yang Dipertua MAIPs bertitah, selain itu semua aktiviti pengimarahan seperti kuliah, ceramah termasuk jamuan makan juga dibenarkan,.

Begitu juga dengan aktiviti sosial lain seperti majlis perkahwinan, jamuan, gotong royong, majlis berbuka puasa, iktikaf dan sebagainya turut dibenarkan, selagi ia mematuhi SOP.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, solat sunat Aidilfitri di negeri ini digalakkan untuk dibuat di tanah lapang pada pukul 8 pagi seperti yang dilaksana sebelum ini, dan pemilihan tapak tanah lapang adalah tertakluk kepada ketetapan oleh Jawatankuasa Kariah Masjid masing-masing.

Pelaksanaan Solat Aidilfitri di mana-mana surau dan dewan tanpa kelulusan pihak berkuasa masih tidak dibenarkan.

“Walaubagaimanapun, pihak Jawatankuasa Kariah boleh mempertimbangkan penggunaan ruang dalam masjid sekiranya terdapat keperluan bergantung kepada ruang dan bilangan jemaah yang hadir,” titah baginda.

Baginda bertitah, selaras dengan SOP berkenaan juga, jemaah termasuk kanak-kanak dibenarkan hadir untuk menunaikan solat dan menyertai aktiviti pengimarahan tanpa terikat dengan status vaksinasi.

Related posts

Leave a Comment