Solat Aidilfitri di tempat terbuka

IPOH 26 April – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan membenarkan Solat Sunat Aidilfitri di tempat terbuka dan kawasan lapang dalam kawasan perumahan di negeri itu tanpa penjarakan fizikal pada 1 Syawal.

Hidangan  jamuan Aidilfitri di masjid dan surau secara terbuka atau bufet serta aktiviti ziarah kubur juga dibenarkan.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Mohd Annuar Zaini, berkata baginda bertitah,  penganjur solat perlu memaklumkan sekurang-kurangnya tiga hari sebelum Aidilfitri kepada Pegawai Tadbir Agama Daerah dan Balai Polis atau Pondok Polis terdekat.

“Solat Sunat Aidilfitri boleh dilaksanakan tanpa jarak fizikal antara jemaah di masjid dan surau. Aktiviti takbir Aidilfitri juga boleh diadakan dari rumah ke rumah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, selain itu baginda bertitah hidangan jamuan secara terbuka atau bufet turut boleh diadakan di masjid dan surau bermula solat Maghrib, Khamis ini.

Katanya, Sultan Nazrin menzahirkan titah berkenaan berlandaskan sembah nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak.

“Semua aktiviti Aidilfitri hendaklah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh MKN dan JKN seperti pemakaian pelitup muka dan mendaftar kehadiran di MySejahtera,” katanya.

Beliau berkata, Sultan Nazrin dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya kepada seluruh rakyat baginda di samping mendoakan kesejahteraan mereka.

Related posts

Leave a Comment