Kuota haji Singapura 407 jemaah

SINGAPURA 26 April – Singapura diberi kuota 407 orang jemaah bagi menunaikan ibadah haji tahun ini selepas dua tahun dibekukan akibat pandemik Covid-19.

Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) menjelaskan jumlah itu adalah 45 peratus daripada kuota rasmi sebelumnya sebanyak 900 jemaah. 

Dalam kenyataannya, MUIS memaklumkan, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi (KSA) mengehadkan kepada sejuta jemaah termasuk 850,000 jemaah antarabangsa.

Setiap negara diperuntukkan sekurang-kurangnya 45 peratus kuota prapandemik rasmi yang sebelumnya ditetapkan.

KSA juga mengumumkan haji tahun ini akan diperuntukkan bagi jemaah berusia di bawah 65 tahun, yang harus lengkap divaksin dengan vaksin yang dibenarkan KSA.

Mereka juga harus mengemukakan hasil ujian Reaksi Rantaian Polymerase (PCR) dalam masa 72 jam daripada tempoh keberangkatan ke KSA.

MUIS akan mengatur dan memperuntukkan semula kuota haji yang terhad itu buat jemaah yang sepatutnya mengerjakan haji pada tahun 2020.

Semua jemaah haji di dalam sistem pendaftaran haji lanjutan akan secara automatik berada dalam barisan mereka yang akan mengerjakan haji dalam tahun-tahun mendatang.

Berikutan itu, MUIS sedang mengesahkan senarai muktamad jemaah yang dapat memenuhi ketetapan haji tahun ini melalui surat rasmi tawaran haji itu pada 5 Mei ini.

Jemaah yang berjaya akan diberitahu melalui kiriman SMS, di mana mereka diminta memeriksa e-mel bagi keterangan tentang mendapatkan Surat Tawaran MUIS.

Selepas menerima tawaran rasmi daripada MUIS, jemaah perlu menempah pakej haji dengan pilihan ejen haji mereka dalam masa tiga hari.

Jemaah juga dinasihatkan agar membeli insurans kembara yang meliputi biaya perubatan di KSA, pembatalan kunjungan dan sekatan perjalanan sekiranya gagal  ujian PCR dan tidak dapat berangkat ke Arab Saudi.

Related posts

Leave a Comment