UK bersedia hadapi cabaran hari pertabalan

LONDON: Perkhidmatan keselamatan United Kingdom (UK) bersedia menangani sebarang cabaran pada hari pertabalan Raja Charles III, Sabtu ini susulan insiden seorang lelaki disyaki melontar kelongsong peluru senapang patah ke dalam pekarangan Istana Buckingham.

Menurut laporan media, lelaki itu yang didakwa bersenjatakan pisau, ditahan kira-kira pukul 7 malam (1800 GMT) kelmarin, yang menimbulkan kebimbangan menjelang beberapa hari sebelum acara pertabalan Raja Charles III, yang akan dihadiri raja-raja dan pemimpin dunia.

Semalam, Menteri Keselamatan, Tom Tugendhat memberitahu bahawa polis sedia mendepani segala cabaran menjelang peristiwa bersejarah itu.

Polis Metropolitan London berkata, pegawainya sudah memusnahkan beg yang mencurigakan dibawa lelaki ditahan itu sebagai langkah berjaga-jaga, selain tidak menganggap insiden itu dengan keganasan.

Sementara itu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mengadakan lawatan khas ke London, United Kingdom (UK) bermula semalam hingga 14 Mei.

Menurut Kementerian Luar (Wisma Putra), lawatan khas itu atas undangan Raja Charles III sempena Istiadat Pertabalan di Westminster Abbey pada 6 Mei.

Seri Paduka berdua juga berkenan untuk menghadiri Majlis Resepsi dihoskan oleh Raja Charles III di Istana Buckingham pada 5 Mei.

Lawatan khas itu amat signifikan dalam konteks menyatukan hubungan sedia ada dan akrab yang dikongsi di antara Malaysia dan UK, terutamanya di antara institusi diraja kedua-dua negara serta ikatan dalam Komanwel.

Menurut kenyataan itu, lawatan khas berkenaan turut menzahirkan kepentingan hubungan erat di antara kedua-dua negara bekerjasama dalam pelbagai bidang yang disokong di peringkat pemerintahan tertinggi negara.

Kali terakhir Seri Paduka Baginda berdua berkenan berangkat ke Istana Buckingham ialah pada 12 Oktober 2022 sempena kunjungan hormat ke atas Baginda Raja Charles III bersempena lawatan khas ke London dari 10 hingga 16 Oktober 2022.

Kunjungan hormat itu juga mencerminkan keakraban Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan Baginda Raja Charles III.

Kedua-dua pemimpin telah menjalinkan persahabatan sejak lebih empat dekad bermula dengan bersukan polo bersama-sama ketika remaja di London dan dalam pelbagai peringkat kejohanan antarabangsa.

Related posts

Leave a Comment