Kes harian di bawah 5,000

PUTRAJAYA 25 April – Malaysia kembali merekodkan kes harian Covid-19 di bawah 5,000 iaitu sebanyak 4,006 kes semalam, empat bulan selepas kali terakhir merekodkan 4,774 pada 31 Januari lalu.

Dengan perkembangan ini,  jumlah keseluruhan kes jangkitan sehingga kini meningkat kepada 4,431,073 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kes yang dilaporkan semalam itu membabitkan 3,999 kes penularan tempatan dengan tujuh kes lagi adalah import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Kategori paling tinggi yang dikesan semalam adalah kategori dua atau bergejala iaitu sebanyak 2,694 (67.25 peratus), ia diikuti kategori satu (1,288), kategori tiga (12) dan masing-masing enam kes bagi kategori empat dan lima.

Secara keseluruhannya, daripada 24 kes  dalam kategori tiga hingga lima itu, sebanyak 12 kes membabitkan individu yang mempunyai komorbid, masing-masing sembilan kes membabitkan individu sudah menerima vaksin serta berumur 60 tahun dan keatas, belum divaksin atau lengkap vaksin (lapan) dan sudah menerima dos penggalak (tujuh).

Dr Noor Hisham berkata, sehingga kini terdapat 98 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU),iaitu 50 kes disahkan jangkitan dengan 48 kes lagi disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan.

Bagi kes dalam ICU dan memerlukan alat bantuan pernafasan, sehingga kini terdapat 61 kes iaitu 34 kes disahkan Covid-19 dengan 27 kes lagi disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan.

Semalam seramai 165 individu dimasukkan ke hospital iaitu sebanyak 91 kes merangkumi pesakit Covid-19 dalam kategori satu dan dua serta 74 kes dalam kategori tiga hingga lima.

Sementara itu, menerusi laman sesawang COVIDNOW, Selangor kekal menjadi negeri tertinggi mencatatkan kes harian dengan 2,281 kes, diikuti Kuala Lumpur (439, Negeri Sembilan (261), Pulau Pinang (179), Perak (170) dan Sarawak (112).

Selain itu ialah Johor dengan 111 kes, disusuli Kedah (105), Melaka (87), Putrajaya (72), Pahang (65), Sabah (60), Kelantan (20), Terengganu (35), Perlis (7) dan Labuan (dua).

Mengenai kes sembuh semalam, Dr Noor Hisham berkata, sejumlah 10,223 kes dicatatkan sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih daripada jangkitan berkenaan adalah sebanyak 4,320,822 kes.

Related posts

Leave a Comment