Pelitup muka longgar atau ‘hapus’

SEREMBAN 23 April – Menjelang Hari Raya Aidilfitri tahun ini, akan diketahui sama ada tiga prosedur operasi standard (SOP) utama dilonggar atau ditarik balik.

Tiga SOP itu adalah pemakaian pelitup muka di tempat awam, mengimbas kod QR MySejahtera dan ujian saringan pantas antigen (RTK-Ag) di lapangan terbang.

Pada Isnin lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata beliau akan membuat pengumuman penting berkaitan sambutan berkenaan.

“Minggu depan saya akan umumkan update berkenaan sambutan hari raya. Jeng, jeng, jeng,” ujarnya menerusi aplikasi TikTok.

Hari ini Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan akan mengumumkan kelonggaran tiga SOP utama yang diguna pakai sejak negara dilanda pandemik dalam masa terdekat.

Perdana Menteri berkata, pengumuman itu bakal meliputi sama ada SOP berkenaan perlu diteruskan atau sebaliknya.

Beliau berkata, tiga perkara terbabit sedang diteliti dan dibincangkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

“Ada tiga perkara besar, saya tidak pasti bila ia akan diumumkan, namun KKM sedang berbincang serta bermesyuarat mengenai pelitup muka, MySejahtera dan sama ada perlu melakukan ujian PCR/RTK sebaik saja tiba di lapangan terbang atau ketika memasuki pusat beli-belah atau mana-mana tempat awam.

“Tunggulah, kita akan umum. Kita doakan berita gembira,” katanya kepada pemberita selepas melawat sebuah pusat perlindungan kanak-kanak, di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, kerajaan tidak bercadang untuk kembali mengetatkan SOP, sebaliknya kelonggaran akan diberikan dari semasa ke semasa.

Beliau yakin, perkara itu menggembirakan rakyat tetapi pada masa sama, ada yang bimbang sekiranya terlalu bebas.

“Itulah sebabnya perlu seimbangkan. Jika kita terlampau bebas, rakyat takut tetapi seperti yang saya kata, kerajaan tidak akan mengundur ke belakang, sebaliknya memberi kelonggaran dari semasa ke semasa.

“Sekarang, kita sudah boleh balik kampung untuk beraya dan sebagainya tetapi masih perlu memakai pelitup muka walaupun tiada lagi penjarakan fizikal seperti dulu yang menyebabkan tindakan boleh diambil jika ia dilanggar,” katanya.

Related posts

Leave a Comment