Brunei catat 250 kes baharu

BERAKAS 12 April – Kes jangkitan harian Covid-19 di Brunei Darussalam turun kepada 250 kes  berbanding 281 yang direkodkan semalam menjadikan jumlah keseluruhan 139,061.

Menteri Kesihatan, Dr. Md. Isham Jaafar berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 230 adalah hasil Ujian ART dan 20 kes adalah hasil daripada 883 Ujian Makmal RT-PCR, yang dilakukan dalam masa 24 jam lalu.

Bercakap pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan Covid-19 di Negara Brunei Darussalam, beliau berkata terdapat satu kes dalam Kategori 5, iaitu mereka yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Intensif (ICU).

Dua kes lagi dalam Kategori 4, iaitu yang memerlukan bantuan oksigen dan di bawah pemantauan rapi.

Sebanyak 130 kes disahkan sembuh, yang membawa jumlah keseluruhan 136,313 manakala jumlah kes aktif pula sebanyak 2,532 kes, iaitu 45 kes sedang dirawat di hospital, manakala 2,487 kes sedang menjalani pengasingan diri di rumah.

Bagi program vaksinasi pula, sebanyak 1,144 lagi kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun telah diberi vaksin Covid-19 semalam menjadikan jumlah keseluruhan 6,811 orang atau 13.2 peratus daripada populasi kumpulan itu.

Sementara itu Fasa Awal Endemik di bawah Rangka Kerja Pelan Pemulihan Kebangsaan Covid-19 dilanjutkan sehingga 30 April ini.

Related posts

Leave a Comment