15.9 peratus terima dos penggalak

PUTRAJAYA 11 April – Sebanyak 27,042 lagi kanak-kanak melengkapkan dos suntikan vaksin Covid-19 menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) setakat semalam.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan 132,390 kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun sudah melengkapkan dos suntikan vaksin Covid-19.

Berdasarkan data menerusi laman web COVIDNOW, sebanyak 3,256 lagi kanak-kanak menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin menjadikan jumlah keseluruhan 1,365,915 atau 38.4 peratus daripada populasi itu.

Bagi populasi remaja berusia 12 hingga 17 tahun pula, sejumlah 2,860,287 individu atau 91.9 peratus sudah lengkap divaksinasi manakala 2,961,642 individu atau 95.2 peratus sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sementara itu seramai 15,922,033 individu dewasa atau 67.7 peratus sudah menerima suntikan dos penggalak, 22,957,184 individu atau 97.6 peratus daripada populasi itu pula lengkap vaksinasi manakala 23,234,427 atau 98.8 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.

Sebanyak 38,820 dos vaksin diberikan semalam membabitkan 4,079 dos pertama, 28,469 dos kedua dan 6,272 dos penggalak, menjadikan jumlah kumulatif dos diberikan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sebanyak 69,221,371.

Related posts

Leave a Comment