Kes harian turun lagi

PUTRAJAYA 5 April – Selama empat hari berturut-turut selepas memasuki fasa peralihan endemik,  kes baharu Covid-19  menunjukkan trend menurun iaitu sebanyak 10,002 kes semalam.

Kelmarin jumlah kes yang direkodkan adalah 12,380 dan sebelumnya 14,692 (2 April) dan 17,476 (1 April) berbanding 18,560 pada 31 Mac.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, daripada jumlah kes baharu yang dikesan semalam itu sebanyak 9,904 adalah kes penularan tempatan dengan 98 kes lagi adalah import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Perkembangan ini menjadikan jumlah keseluruhan sehingga kini adalah sebanyak 4,256,469 individu sudah dijangkiti virus berkenaan di negara ini.

Katanya, daripada jumlah kes baharu yang dikesan semalam itu sebanyak 54.94 peratus atau 5,495 kes adalah pesakit Covid-19 dalam kategori satu.

Ia diikuti pesakit Covid-19 dalam kategori dua (4,418 kes), kategori empat (33 kes), kategori tiga (30 kes) dan kategori lima (26 kes).

Secara keseluruhannya, daripada 89 kes dalam kategori tiga hingga lima itu, sebanyak 60 kes membabitkan individu mempunyai komorbid.

Selain itu sebanyak 51 kes adalah membabitkan pesakit Covid-19 berusia 60 tahun ke atas, sudah menerima dua dos vaksin (34 kes), tidak divaksin atau lengkap vaksin (31 kes) dan sudah menerima dos penggalak (24 kes).

Tiada pertambahan kluster baharu direkodkan dan jumlah kluster yang masih aktif di negara ini kekal pada 173.

Related posts

Leave a Comment