Berbuka sebelum waktu batal puasa

KOTA KINABALU 4 April – Puasa umat Islam yang berbuka puasa awal daripada waktu sebenar mengikut azan yang disiarkan menerusi radio adalah terbatal dan wajib untuk menggantikannya selepas bulan Ramadan berakhir.

Mufti Sabah,  Bungsu@Aziz Jaafar, berkata waktu berbuka puasa adalah bersandarkan kepada terbenamnya matahari berdasarkan nas syarak dan bukannya bersandarkan kepada laungan azan di radio atau seumpamanya serta keadaan langit pada ketika itu.

“Pada dasarnya di sisi syarak, puasa bagi mereka yang berbuka puasa awal daripada waktu sebenar kerana mengikut azan di radio adalah dikira terbatal dan wajib ke atas mereka menggantikan puasa itu selepas berakhirnya bulan Ramadan,” katanya.

Menurut beliau , usaha pihak radio menyiarkan azan sebagai tanda masuk waktu dan berbuka adalah usaha murni yang sangat baik, namun pihak radio perlulah lebih teliti dan cermat bagi mengelakkan berulang menyiarkan azan awal dari waktunya.

Beliau mengulas isu tular seorang penyampai stesen radio tempatan yang tampil memohon maaf atas kesilapan teknikal menyiarkan azan Maghrib empat minit lebih awal di Tawau semalam.

Sementara itu, Bungsu turut menyeru umat Islam di Sabah supaya sentiasa cermat dan berhati-hati dengan perkara berkaitan waktu berbuka puasa.

Beliau menyarankan kepada umat Islam untuk merujuk kepada takwim berbuka puasa yang dikeluarkan oleh pihak berwajib.

Related posts

Leave a Comment