Jangan lalai masuki endemik

PUTRAJAYA 31 Mac – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengingatkan orang ramai supaya tidak lalai di samping mengamalkan kawalan kendiri meskipun negara bakal memasuki Fasa Peralihan Ke Endemik bermula esok.

Beliau berkata dalam fasa itu orang ramai masih perlu terus memakai pelitup muka serta mengamalkan TRIIS (Test, Report, Isolate, Inform, Seek-Uji, Lapor, Asing, Maklum, Dapatkan Rawatan) untuk mencegah dan mengawal penularan Covid-19.

Beliau berkata, bagi memastikan mereka dan anak-anak dilindungi, pengambilan vaksin Covid-19 adalah digalakkan.

“Esok kita masuk fasa peralihan ke endemik. Gelombang Omicron terkawal. Angka Rt negara 0.88. Sistem kesihatan awam cukup kapasiti. But let’s not let our guard down (Tapi jangan biarkan kawalan kita lemah,” katanya menerusi ciapan di Twitter, hari ini.

Malaysia memasuki Fasa Peralihan ke Endemik esok selepas dua tahun memerangi pandemik Covid-19 dengan menyaksikan pembukaan semula sempadan negara.

Walaupun akan kembali kepada gaya hidup normal mereka, orang ramai masih perlu  mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti memakai pelitup muka.

Dengan peralihan kepada endemik, sekatan yang dikenakan untuk mengekang penularan Covid-19 sebelum ini turut dilonggarkan, membuka jalan kepada penganjuran kebanyakan aktiviti termasuk solat berjemaah yang dijalankan seperti biasa.

Related posts

Leave a Comment