33 notis kesalahan merokok

KUALA LUMPUR 31 Mac – Kementerian Kesihatan (KKM) mengeluarkan 33 notis kepada individu dan pemilik premis atas pelbagai kesalahan merokok membabitkan kompaun berjumlah RM11,250 di sekitar ibu negara, malam tadi.

Kompaun itu dikeluarkan mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 menerusi operasi bersepadu penguatkuasaan larangan merokok ke atas 13 premis yang diperiksa.

Ketua Sektor Kawalan Tembakau KKM Dr Noraryana Hassan berkata, daripada jumlah berkenaan, 21 notis dikeluarkan bagi kesalahan pelanggaran peraturan 11(1) PPKHT iaitu kesalahan merokok di kawasan larangan.

Baki 12 notis dikeluarkan bagi kesalahan pelanggaran peraturan 12(1)(a) iaitu tanggungjawab pemilik atau pengusaha tempat makan mempamerkan tanda larangan merokok.

Operasi ini menumpukan kepada pembanterasan aktiviti menghisap shisha yang juga jatuh di bawah kategori merokok dilihat semakin dipandang enteng oleh masyarakat.

“Saya rasa ramai yang mungkin alpa dan berfikir merokok itu hanya tertumpu kepada rokok konvensional dan rokok elektronik sahaja.

“Mereka mungkin lupa bahawa menghisap shisha di tempat-tempat larangan termasuklah di tempat makan juga adalah satu kesalahan,” katanya.

Operasi bersepadu itu berlangsung selama kira-kira empat jam bermula 8 malam tadi disertai 65 anggota dari Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKWPKL) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Tumpuan utama adalah premis yang terletak di  Kampung Baru, Kepong dan sekitar Jalan Ampang.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Kanan Kesihatan Awam Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL, Dr Nor Halizam Ismail berkata pihaknya tidak pernah mengeluarkan lesen membenarkan penyediaan perkhidmatan shisha kepada mana-mana premis dan menegaskan kompaun sehingga RM2,000 akan dikeluarkan kepada mana-mana premis yang gagal mematuhi syarat lesen.

Related posts

Leave a Comment