Vaksinasi kanak-kanak Brunei sukarela

BERAKAS 29 Mac – Vaksinasi Covid-19 bagi kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun di Brunei Darussalam akan dibukakan secara sukarela, iaitu atas kemahuan dan persetujuan ibu bapa atau penjaga sendiri.

Menteri Kesihatan, Dr. Md. Isham Jaafar berkata, ibu bapa atau penjaga akan dipelawa membawa anak-anak mereka mendapatkan vaksin Covid-19 di Pusat-pusat Suntikan yang ada secara ‘walk-in’ atau menempah melalui BruHealth.

”Tarikh permulaan pemberian vaksinasi Covid-19 bagi kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun akan dimaklumkan dalam masa yang terdekat,” katanya pada Sidang Media Khas Vaksinasi Kanak-Kanak Berumur 5 hingga 11 Tahun, semalam.

Bekalan vaksin Covid-19 formulasi khas untuk kanak-kanak dari Syarikat Pfizer selamat tiba di negara ini, pada 24 Mac lalu.

 Dr. Md. Isham menjelaskan pemberian vaksin Covid-19 untuk kanak-kanak adalah bertujuan memberikan perlindungan kepada kanak-kanak daripada kesan-kesan buruk jangkitan Covid-19.

Katanya, vaksinasi tidak akan dijadikan syarat bagi kanak-kanak memasuki mana-mana premis atau mengikuti apa jua aktiviti.

Beliau menjelaskan, kajian setakat ini, menyarankan bagi kanak-kanak untuk diberikan dua dos vaksin sahaja dan Kementerian Kesihatan akan terus memantau dan menyiasat sebarang kes yang melaporkan kesan sampingan.

Pihak WHO menurut Dr Isham mengeluarkan saranan bagi negara-negara di seluruh dunia memberikan vaksinasi Covid-19 kepada kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun.

 Menurutnya ‘The Global Advisory Committee on Vaccine Safety (GACVS)’ membuat kesimpulan, bahawa dalam semua peringkat umur (termasuk kanak-kanak), faedah yang diperoleh dari vaksin Covid-19 mRNA, dalam mengurangkan keperluan rawatan hospital dan kematian akibat Covid-19 jauh melebihi risiko vaksin berkenaan.

 Dalam pada itu juga, kajian di beberapa buah negara khusus, mengenai kesan sampingan serius akibat vaksinasi Covid-19 terhadap kumpulan itu tidak mendapati sebarang kesan sampingan serius atau kematian yang dikaitkan dengan vaksinasi.

 Selain itu, tegasnya, tidak ada kes ‘myocarditis’ selepas vaksinasi Covid-19 bagi kanak-kanak di bawah umur 12 tahun dilaporkan, di seluruh dunia setakat ini.

 ‘Vaccine Adverse Event Reporting System (VAERS) di Amerika Syarikat, iaitu sistem pangkalan terbesar di dunia, bagi memantau kesan sampingan vaksin telah mengesahkan 11 laporan kes kesan sampingan dalam kalangan 8 juta dos vaksin yang telah diberikan kepada kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun.

 Di dalam satu sistem ‘surveillance’ keselamatan vaksin lain pula, tidak ada kes ‘myocarditis’ dilaporkan dalam tempoh 1 hingga 21 hari atau 1 hingga 42 hari selepas 333,000 dos vaksin diberikan kepada kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun.

 ‘Sementara itu, dua kematian kanak-kanak yang dilaporkan berlaku di Amerika Syarikat selepas menerima vaksin Pfizer-BioNTech Covid-19 adalah dalam kalangan kanak-kanak mempunyai beberapa masalah kesihatan kronik.

“Penelitian awal telah mendapati kematian mereka tidak dapat dikaitkan kepada vaksin tersebut,” katanya.

Related posts

Leave a Comment