Singapura sedia 60,000 slot tarawih

SINGAPURA 29 Mac – Sebanyak 60,000 ruang untuk solat tarawih berjemaah akan disediakan di masjid-masjid di Singapura setiap malam sepanjang bulan Ramadan yang dijangka bermula 3 April ini.

Bagi tujuan pengurusan kapasiti di masjid, jemaah perlu menempah slot bagi solat isyak dan tarawih menerusi sistem dalam talian yang akan dibuka pada 31 Mac ini mulai pukul 10 pagi.

Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dalam satu kenyataannya berkata, solat tarawih akan bermula pada pukul 8.45 malam, dengan tempat bagi jemaah wanita turut disediakan di semua masjid.

Pada tahun ini, jemaah boleh membuat tempahan untuk beberapa kali sepanjang bulan Ramadan.

Berbanding tahun lalu, mereka hanya berpeluang menunaikan solat tarawih sehingga tiga kali di masjid iaitu 10 hari pertama, 10 hari kedua, dan 10 hari terakhir.

“Jemaah dinasihatkan untuk membuat perancangan awal, dan membatalkan tempahan mereka jika mereka tidak sihat dan tidak dapat datang ke masjid, agar jemaah lain boleh mendapatkan slot,” kata MUIS.

MUIS juga menasihatkan masyarakat Islam setempat untuk berbuka puasa dan mendirikan solat Maghrib berjemaah bersama-sama keluarga mereka di rumah.

Bagi jemaah yang tidak berkesempatan bersama keluarga di rumah disebabkan komitmen kerja, beberapa masjid, akan menyediakan ruang yang terpisah dari ruang solat utama, di mana jemaah boleh berbuka puasa, tertakluk kepada langkah pengurusan selamat yang dikuat kuasa.

Di samping itu, qiamullail juga akan diadakan di masjid-masjid terpilih pada 10 malam terakhir Ramadan tanpa perlu tempahan  tetapi jemaah tidak dibenarkan bermalam di masjid dan sahur tidak disediakan.

(Foto hiasan Masjid Yusof Ishak)

Related posts

Leave a Comment