Vaksinasi dos penggalak ke rumah

KUALA LUMPUR 25 Mac – ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) akan menyediakan perkhidmatan Home Vaccination,  program vaksinasi ke rumah, khusus untuk warga emas yang tidak dapat hadir ke pusat pemberian vaksin (PPV) berikutan masalah logistik.

Ketua Pegawai Eksekutifnya,  Dr Anas Alam Faizli, memaklumkan perkhidmatan itu disediakan bagi memperluas dan mempercepatkan vaksinasi dos penggalak, sebelum keistimewaan sijil vaksinasi penuh ditarik semula daripada penerima vaksin yang tidak mendapatkan dos penggalak sehingga 31 Mac ini.

Katanya, pendaftaran bagi perkhidmatan itu boleh dibuat melalui talian penting nasional untuk Home Vaccination iaitu 1700-811-007 setiap hari mulai 28 Mac dari pukul 9 pagi hingga 5 petang.

Orang ramai boleh menghantar teks melalui applikasi WhatsApp di talian +6012-6787911 dan mereka akan menerima maklum balas dalam masa satu hingga tiga hari.

Ini adalah usaha kerjasama antara ProtectHealth dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) bagi menggalakkan warga negara atau bukan warga Malaysia mendaftarkan tanggungan warga emas mereka yang tidak dapat hadir ke PPV.

Dr Anas juga berkata, pendaftaran boleh dilakukan melalui laman sesawang ProtectHealth iaitu https://vaksincovid.protecthealth.com.my/register_vaccinee, serta aplikasi MySejahtera di bahagian Meja Bantuan dengan memilih pilihan A iaitu Janji Temu Vaksinasi Penggalak.

Related posts

Leave a Comment