Singapura catat 573 kes baharu

THAILAND melaporkan 18 kes baharu Covid-19 yang melibatkan pendatang yang ditahan di Pusat Tahanan Imigresen di wilayah selatan Songkhla menjadikan keseluruhan kes sebanyak 2,987 manakala jumlah kematian kekal 54.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA)  Thaweesilp Wissanuyothin  berkata kes baharu itu melibatkan 17 wanita berumur antara 13 dan 22 tahun serta seorang kanak-kanak lelaki berumur 10 tahun yang ditahan di Pusat Tahanan Imigresen Sadao.

Pada 25 April lepas, seramai 42 pendatang termasuk dua rakyat Malaysia dari pusat tahanan itu disahkan positif Covid-19.

Berhubung laporan 40 kes positif COVID-19 di Yala, selatan Thailand, Thaweesilp berkata semua sampel telah disahkan negatif selepas ujian kedua di Jabatan Sains Perubatan Songkhla, semalam.

“Ujian ketiga akan dilakukan di Bangkok untuk pengesahan. Keputusan dijangka diperoleh dalam tempoh beberapa hari,” katanya.

KEMENTERIAN Kesihatan SINGAPURA mengesahkan 573 lagi kes positif menjadikan jumlah keseluruhan 18,778 . Lima daripada kes baharu itu merupakan rakyat atau pemastautin tetap republik itu. 

Dalam satu kenyataan, MOH berkata majoriti kes adalah pekerja asing yang tinggal di asrama. 

Dalam data terperinci dikeluarkan lewat Ahad, kementerian itu berkata tiada lagi kes berkaitan stesen MRT Maxwell, di Jalan Neil untuk dua tempoh inkubasi lepas, dan sekarang kluster itu telah ditutup.  

Semalam, Ahad jumlah keseluruhan kes ialah 18,205, dan Singapura mengklasifikasikan 1,224 daripadanya sebagai kes komuniti, 579 kes import dan 539 kes melibatkan pemegang permit kerja yang tidak tinggal di asrama.

Sementara itu, INDONESIA mencatatkan 19 kematian akibat virus Covid-19 dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan jumlah kematian meningkat kepada 864 kes dengan separuh daripadanya berlaku di Jakarta.

Jurucakap kerajaan Indonesia mengenai Covid-19, Achmad Yurianto, berkata dalam tempoh tersebut jumlah kes baharu adalah 349 kes, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 11,587 kes manakala 24,020 orang disenaraikan sebagai pesakit dalam pengawasan.

Provinsi Jakarta mencatatkan kes kematian tertinggi iaitu 408 kes, diikuti Jawa Timur (117), Jawa Tengah (86) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia.

Jabatan Kesihatan FILIPINA (DOH) pula melaporkan sehingga pukul 4 petang ini, sebanyak 262 kes baharu dikesan menjadikan jumlah keseluruhan 9,485 kes.

Jumlah kematian pula meningkat kepada 623 apabila 16 kes baharu dilaporkan. Pada masa yang sama 101 kes pulih menjadikan 1,315 kes sembuh.

Kementerian Kesihatan BRUNEI DARUSSALAM pula melaporkan, jumlah kes kekal 138 apabila tiada kes baharu dilaporkan.

Dua kes pula disahkan sembuh menjadikan jumlah pulih 130 sementara tujuh masih dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan di mana dua  daripadanya kritikal.

Related posts

Leave a Comment