Geylang Serai kembali ceria

SELEPAS dua tahun Wisma Geylang Serai suram ketika menyambut Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri akibat Covid-19, tahun ini keadaan bakal berubah.

Destinasi popular Singapura setiap kali menjelang hari raya kini bermandikan cahaya selepas majlis Pelancaran Lampu Hari Raya 2022 malam ini.

Majlis dirasmikan oleh Menteri Kewangan Lawrence Wong yang menyifatkan hari raya tahun ini istimewa berikutan kelonggaran langkah-langkah pengurusan selamat.

“Sudah dua tahun, kita semua memerangi wabak ini Masyarakat Melayu-Islam khususnya telah mematuhi langkah-langkah yang ditetapkan. Terima kasih atas kerjasama anda,” katanya.

Beliau berkata, masyarakat Melayu/Islam tempatan menunjukkan “Semangat Singapura” yang menyerlah kerana membuat penyesuaian pada masa-masa sukar.

“Kita telah mencapai hasil yang baik seperti – ramai orang sudah divaksin dan dilindungi. Kita sekarang berada di kedudukan yang lebih baik untuk melonggarkan langkah-langkah pengurusan selamat.

“Sebab itulah, Raya tahun ini, istimewa. Selagi kita terus bekerjasama dan mengamalkan semangat gotong-royong, kita akan menjadi lebih baik, sebagai satu masyarakat dan satu negara,” katanya.

Beliau juga pada masa yang sama mengingatkan orang ramai agar terus mematuhi langkah-langkah pengurusan selamat terutama ketika peluang untuk mengunjungi bazar bersama keluarga dan sahabat handai,

Related posts

Leave a Comment