Kes harian Covid-19 turun

PUTRAJAYA 21 Mac – Sejumlah 19,105 kes positif baharu Covid-19 dilaporkan setakat tengah malam tadi, menunjukkan penurunan berbanding 22,341 kelmarin menjadikan jumlah keseluruhan 3,993,124 direkodkan dalam negara .

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada kes baharu itu, sebanyak 18,719 kes membabitkan penularan tempatan meliputi 18,046 warganegara (96.4 peratus) dan 673 bukan warganegara (3.6 peratus).

Baki 386 lagi membabitkan kes import dengan 373 adalah rakyat Malaysia dan 13 warga asing.

Daripada 19,105 kes harian dilaporkan semalam, sebanyak 8,267 kes atau 43.27 peratus dalam Kategori 1; diikuti Kategori 2 seramai 10,645 kes (55.72 peratus); Kategori 3 (81 kes atau 0.42 peratus); Kategori 4 (44 kes atau 0.23 peratus); dan 68 kes atau 0.36 peratus dalam Kategori 5.

Daripada 193 kes dalam Kategori 3, 4 dan 5 pula, sebanyak 58 kes (30.05 peratus) membabitkan individu tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi; 78 kes (40.41 peratus) terdiri mereka yang menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak dan 57 kes (29.53 peratus) sudah menerima dos penggalak.

Sebanyak 92 kes (47.67 peratus) adalah mereka yang berusia 60 tahun dan ke atas dan sebanyak 81 kes (41.97 peratus) mempunyai komorbid.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan 28,250 kes sembuh dilaporkan semalam, menjadikan sejumlah 3,684,665 kes sudah pulih sepenuhnya.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) turut mengesan satu kluster baharu jangkitan Covid-19 semalam, menjadikan keseluruhan 6,912 kluster dikesan hingga kini, dengan 6,608 sudah ditamatkan dan 304 lagi masih aktif.

Katanya, setakat tengah malam tadi juga, sebanyak 168 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 203 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Related posts

Leave a Comment