Kes sembuh harian atasi jangkitan

PUTRAJAYA 8 Mac – Bilangan kes sembuh mengatasi jumlah kes harian Covid-19 semalam apabila 30,726 orang pesakit dilaporkan sembuh berbanding 26,856 kes baharu direkodkan dalam tempoh yang sama.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dengan perkembangan ini jumlah keseluruhan pesakit pulih meningkat kepada 3,311,854  berbanding 3,649,463 individu dijangkiti Covid-19.

Mengenai kes baharu semalam, sebanyak 26,645 daripada jumlah itu membabitkan penularan tempatan dengan 211 lagi adalah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Daripada jumlah kes baharu dikesan itu, paling tinggi membabitkan pesakit dalam kategori dua dengan 16,508 kes atau 61.47 peratus, diikuti kategori satu iaitu sebanyak 10,160 kes atau 37.83 peratus dikesan.

Bagi kategori tiga pula membabitkan 81 kes, kategori empat (57 kes) dan kategori lima (50 kes).

Secara keseluruhannya, daripada kategori tiga hingga lima membabitkan 103 kes iaitu 54.79 peratus individu berusia 60 tahun dan ke atas.

Beliau berkata sebanyak 83 kes (44.15 peratus) dalam kategori tiga hingga lima itu, membabitkan pesakit Covid-19 yang mempunyai komorbid, 80 kes mendapatkan dua dos vaksin, tetapi belum dos penggalak, 63 kes tidak divaksin atau belum lengkap vaksin, 45 kes sudah terima dos penggalak dan tiga kes ibu mengandung.

Secara keseluruhannya, daripada jumlah kes aktif di negara ini terdapat 368 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 153 disahkan Covid-19 dengan 215 kes pula disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan.

Bagi yang memerlukan alat bantuan pernafasan, setakat ini terdapat 223 kes meliputi 81 kes disahkan Covid-19 dengan 142 kes lagi disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan.

Sebanyak lapan kluster baharu dikesan menjadikan sehingga kini 445 kluster masih aktif di negara ini.

Related posts

Leave a Comment