Arab Saudi catat penurunan kes

RIYADH 26 Feb. – Jumlah kes jangkitan harian Covid-19 di Arab Saudi terus menunjukkan penurunan apabila merekodkan 537 hari ini, iaitu angka di bawah 1,000, yang menjadikan jumlah keseluruhan 743,742.

Menurut Kementerian Kesihatan (MoH) satu kematian direkodkan dan ini menjadikan 8,994 orang meninggal dunia setakat ini.

Sebanyak 1,085 orang dilaporkan sembuh dalam tempoh 24 jam menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 721,473.

Menurut MoH, dalam kalangan kes aktif, sebanyak 612 adalah dalam keadaan kritikal.

Sementara itu di Jeddah, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengumumkan kanak-kanak berusia 7 tahun dan ke atas kini boleh mendapatkan permit memasuki Masjidilharam  dan Masjid Nabawi, dengan syarat aplikasi Tawakkalna menunjukkan status kesihatan mereka sebagai ‘imun’ bagi memastikan keselamatan.

Sebelum ini hanya mereka berusia 12 tahun ke atas boleh berbuat demikian.

Kementerian itu juga mengingatkan mana-mana individu di Arab Saudi yang ingin menunaikan umrah dikehendaki mendapatkan permit daripada aplikasi “Eatmarna” atau “Tawakkalna” dengan syarat status kesihatan mereka pada aplikasi itu “imun” dan data penerima mesti dikemas kini dalam sistem “Absher”.

Ia juga menegaskan permit antara dua umrah kekal dikeluarkan setiap 10 hari sekali.

Related posts

Leave a Comment