34 kematian baharu Covid-19

PUTRAJAYA 20 Feb. – Kementerian Kesihatan melaporkan 34 kematian baharu akibat jangkitan Covid-19 setakat tengah malam tadi menjadikan jumlah keseluruhan 32,310 orang, daripada 3.17 juta kes positif yang dikesan di negara ini.

Menurut data di portal COVIDNOW, 12 daripada 34 kes kematian yang dilaporkan berlaku di luar hospital atau brought-in-dead (BID).

Kes kematian dilaporkan itu turut melibatkan sejumlah kes tertunggak dengan ada antara kes meninggal dunia beberapa minggu lalu.

Sementara itu, terdapat 243,342 kes aktif Covid-19 di seluruh negara dan daripada jumlah itu, 230,491 individu atau 94.7 peratus daripadanya sedang menjalani kuarantin di rumah.

Seramai 5,414 orang pula ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC), 7,199 kes dirawat di hospital dan 238 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).

Kes ICU membabitkan 108 pesakit memerlukan bantuan pernafasan dan 130 lagi memerlukan mesin ventilator.

Related posts

Leave a Comment