Pendaftaran vaksinasi masih rendah

KUALA LUMPUR 3 April – Jumlah mereka yang mendaftar untuk program vaksinasi masih rendah walaupun selepas hampir dua bulan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dilaksanakan, kata Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Setakat semalam, hanya 7.6 juta daripada 26.7 juta rakyat Malaysia telah mendaftar  melalui aplikasi MySejahtera dan Muhyiddin menyifatkan ia masih kecil jika dibandingkan keseluruhan jumlah rakyat yang wajar mendapat suntikan vaksin.

Katanya, pengambilan vaksin ini penting untuk menentukan supaya tahap pencapaian kita untuk mengawal wabak Covid-19 ini akan lebih berjaya.

“Dalam masa sama, kita dapat memulihkan ekonomi kita dengan lebih pesat lagi. Ada kaitan penting antara melaksanakan pemberian vaksin dengan usaha memulihkan ekonomi negara.

“Kalau ikut tinjauan yang dibuat sekarang, hampir semua sektor ekonomi sudah terbuka untuk memulakan operasi dan perniagaan,” katanya.

Beliau juga menjelaskan bahawa walaupun sudah mendapat dua dos vaksin, doktor mengingatkan ia masih belum selamat, ada varian baharu yang lebih ganas dan prosedur operasi standard (SOP) harus diamalkan selalu.

“Sebab itu saya sendiri, walaupun diberi suntikan dua kali tapi saya masih rasa belum cukup terjamin,” ujarnya ketika berucap melancarkan Majlis Pembukaan TSMCG Blood Donation Drive 2021 di sini.

Mengikut perancangan program imunisasi berkenaan, tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin yang bermula Februari hingga April ini akan melibatkan 500,000 anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan.

Program akan diteruskan bagi fasa kedua yang dijangka bermula April hingga Ogos tahun ini melibatkan 9.4 juta warga emas berusia 60 tahun ke atas serta kumpulan rentan dengan masalah morbiditi, selain orang kurang upaya.

Sementara fasa ketiga yang dijadualkan bermula Mei hingga Februari 2022 adalah untuk kumpulan individu berusia 18 tahun dan ke atas dengan sasaran kira-kira 14 juta orang.

Related posts

Leave a Comment