Penduduk Malaysia 32.4 juta

SHAH ALAM 14 Feb. – Penduduk Malaysia kini berjumlah 32.4 juta dengan Purata Kadar Pertumbuhan Tahunan (CAGR) penduduk adalah 1.7 peratus dalam tempoh 10 tahun, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, Banci Penduduk dan Perumahan 2020 juga mendapati jumlah penduduk mengikut kewarganegaraan menunjukkan 29.8 juta atau 91.7 peratus adalah warganegara dan 2.7 juta bukan warganegara.

“Dari segi tempat kediaman pula, sebanyak 9.6 juta sudah dibanci dan 8.2 juta Isi Rumah (IR) dengan purata saiz persendirian adalah sebanyak 3.8 peratus,” katanya pada Majlis pelancaran Laporan Penemuan Utama Banci Malaysia 2020.

Perdana Menteri berkata, daripada jumlah penduduk itu, seramai 52.3 peratus penduduk di Malaysia adalah lelaki manakala 47.7 peratus wanita, dengan nisbah jantina adalah 110 lelaki berbanding 100 wanita.

Katanya, Laporan Penemuan Utama Banci Malaysia 2020 juga menunjukkan negeri yang mempunyai bilangan wanita melebihi lelaki adalah Putrajaya, yang mana 100 wanita bersamaan dengan 96 lelaki.

Bagi statistik mengikut etnik, penduduk Bumiputera mencatatkan peratusan tertinggi iaitu sebanyak 69.4 peratus, diikuti etnik Cina (23.2 peratus), India ( 6.7 peratus) dan lain-lain ( 0.7 peratus).

Sementara itu, kumpulan penduduk warga emas yang berumur 60 tahun ke atas direkodkan sebanyak 3.4 juta atau 10.4 peratus daripada keseluruhan penduduk.

Jumlah itu meningkat berbanding pada tahun 2010 yang mencatatkan 2.2 juta penduduk atau 8.0 peratus. Umur muda pula menunjukkan penurunan daripada 27.6 peratus pada 2010 kepada 24.0 peratus pada 2020.

Ismail Sabri berkata, penemuan Banci 2020 akan dijadikan tanda aras baharu untuk kerajaan menggariskan dasar yang berkaitan dalam pembangunan kesejahteraan rakyat.

Di samping itu ia juga dapat memberikan input yang menyeluruh dalam pelaksanaan dasar sedia ada seperti Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, Rancangan Malaysia Ke-12 dan Agenda 2030 Pembangunan Mampan (SDGs).

Katanya, statistik Banci Penduduk dan Perumahan dapat memberi gambaran sebenar mengenai situasi kependudukan semasa Malaysia termasuklah saiz, taburan, komposisi dan ciri sosioekonomi penduduk serta perumahan.

Related posts

Leave a Comment