Singapura catat 7,752 kes baharu

SINGAPURA 6 Feb. – Kementerian Kesihatan (MoH) melaporkan 7,752 kes baharu Covid-19 di Singapura setakat pukul 12 tengah hari ini yang meliputi 7,639 kes jangkitan tempatan dan 113 kes import.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 397,823 dengan jumlah kematian pula meningkat kepada 871 berikutan tiga lagi individu meninggal dunia.

Menurut MoH, jumlah kes baharu Protokol 2 adalah 6,135 terdiri daripada 14 kes import dan 6,121 jangkitan tempatan.

Protokol 2 adalah pesakit yang sihat tetapi diuji positif ART atau dinilai oleh doktor sebagai mengalami gejala ringan dan berisiko rendah.

Sebanyak 1,617 lagi kes disahkan menerusi ujian PCR, 1,518 adalah jangkitan tempatan manakala 99 adalah kes import.

Kadar pertumbuhan jangkitan mingguan pula adalah 1.49, naik daripada 1.44 pada Sabtu (5 Feb).

Seramai 4,732 pesakit dibenarkan keluar hospital sementara 1,074 masih dirawat naik berbanding 1,068 semalam dan daripada jumlah itu, 92 memerlukan bantuan oksigen di wad biasa, dan 21 dipantau rapi di ICU.

Sementara itu,setakat Sabtu 5 Februari, sebanyak 92 peratus penduduk Singapura yang layak sudah melengkapkan vaksinasi mereka di bawah program vaksinasi nasional.

Mengikut pecahan, sebanyak 89 peratus lengkap dua dos, 91 peratus menerima satu dos, dan 60 peratus sudah disuntik dos penggalak.

Related posts

Leave a Comment