Zahid Hamidi diarah bela diri

KUALA LUMPUR 24 Jan. – Mahkamah Tinggi memerintahkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi 69, membela diri terhadap 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes prima facie bagi semua tuduhan terhadap Ahmad Zahid yang juga pengasas yayasan terbabit.

Dalam penghakimannya, Sequerah dalam berkata, mahkamah membuat keputusan itu selepas membuat penilaian maksimum terhadap bukti yang dikemukakan pendakwaan.

Bagi 12 pertuduhan pecah amanah, Ahmad Zahid, didakwa menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk membuat enam pembayaran kad kredit milik persendirian, polisi insurans kenderaan dan lesen motor persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bagi lapan tuduhan rasuah, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu didakwa menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi membantu syarikat berkenaan mendapatkan projek MyEG.

Beliau juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan membabitkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.

Ahmad Zahid, diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik dan Hamidi Mohd Noh manakala pasukan pembelaan diketuai oleh Raja Rozela Raja Toran.

Mahkamah Tinggi sebelum ini sudah menetapkan tarikh pada Mac, April, Mei dan Jun untuk prosiding membela diri.

Tarikh itu ialah 28 hingga 31 Mac, 11 hingga 13 April, 26 hingga 28 April, 23 hingga 26 Mei dan 27 hingga 30 Jun.

Ahmad Zahid mula dibicarakan pada 18 November 2019 terhadap 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya berkaitan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 tuduhan pengubahan wang haram, puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Pihak pendakwaan menutup kes mereka pada 19 Mac tahun lalu dan pada 6 Disember tahun yang sama, mahkamah menetapkan hari ini untuk keputusan.

Related posts

Leave a Comment