6 kluster pendidikan di Negeri Sembilan

SEREMBAN 23 Jan. – Negeri Sembilan merekodkan enam kluster Covid-19 masih aktif membabitkan institusi pendidikan setakat ini, termasuk tiga kluster baharu yang dikenal pasti semalam, kata Menteri Besar, Aminuddin Harun.

Enam kluster berkenaan ialah Kluster Jalan Pantai Cunningham dan Kluster Paya Utama di Port Dickson; Kluster Bukit Merbah, Kluster Jalan Sikamat dan Kluster Jalan Ban Aik 2 di Nilai serta Kluster Bukit Chengkau Ulu di Rembau.

Katanya, tiga kluster baharu dikenal pasti semalam dengan kes indeks dikesan sekitar awal minggu ini.

Kluster Jalan Pantai Cunningham diisytiharkan 19 Januari lalu membabitkan pelajar di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Haji Abd Samad, Port Dickson, namun tidak membabitkan pelajar luar atau guru.

Ia dikesan apabila pelajar bergejala didapati positif COVID-19 dengan seramai 116 individu disaring dan 11 kes didapati positif, manakala 83 negatif dan 22 lagi masih menunggu keputusan.

Kluster Paya Utama dengan 22 kes positif membabitkan penuntut di asrama Kolej Vokasional Port Dickson, namun tiada penuntut luar atau pensyarah dilaporkan bergejala. Ia bermula apabila seorang pelajar lelaki yang tinggal di asrama mengalami gejala dan seramai 122 kontak rapat sudah disaring sebelum 99 didapati negatif dan seorang masih menunggu keputusan.

Aminuddin berkata, Kluster Bukit Merbah dengan 38 kes membabitkan SMK Dato Sheikh Ahmad, di sini selepas 137 pelajar kontak rapat kes indeks di asrama disaring, manakala Kluster Bukit Chengkau Ulu pula membabitkan Sekolah Tinggi Islam As Sofa di Rembau.

Kluster Jalan Sikamat membabitkan Sekolah Menengah Sains (SMS) Tuanku Munawir Seremban dan Kluster Jalan Ban Aik 2 membabitkan Sekolah Menengah Agama Nilai.

Related posts

Leave a Comment