PLUS aktifkan semula SmartTAG

KUALA LUMPUR 20 Jan. – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan mengaktifkan semula lorong SmartTAG yang ditutup di beberapa plaza tol kendalian syarikat itu susulan pelaksanaan pembayaran tol menggunakan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID).

Itu antara langkah PLUS bagi mengatasi isu berbangkit berkaitan penggunaan RFID di plaza tol, selain meningkatkan kepantasan pengesanan serta menggantikan tag RFID yang rosak secara percuma.

PLUS dalam satu kenyataan berkata, pengaktifan semula lorong SmartTAG itu dilaksanakan bagi mengatasi beberapa isu dan rungutan pelanggan SmartTAG dan pengurusan trafik yang berdepan kesulitan apabila lorong itu ditutup.

Sehubungan itu, PLUS akan mengembalikan semula 19 lorong SmartTAG di 16 plaza tol sebelum Selasa depan, khususnya menjelang sambutan Tahun Baharu Cina.

Selepas perayaan ini, iaitu pada pada 19 Februari depan, 24 lorong SmartTAG akan diaktifkan di 18 plaza tol.

Terdahulu, PLUS memaklumkan langkah itu antara usahanya menyelesaikan rungutan orang ramai yang dibangkitkan dalam pertemuan antara pengurusan tertinggi PLUS dengan Menteri Kanan Kerja Raya, Fadillah Yusof dan Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Mohd Shuhaimi Hassan.

PLUS turut menempatkan Pembantu Khidmat Pelanggan di semua 158 lorong RFID di 74 plaza tol kendaliannya untuk memberi bantuan kepada pelanggan RFID yang berdepan masalah, dengan menggunakan Peranti Pengesan Mudah Alih.

Selain itu, PLUS memberi jaminan akan meningkatkan sistem RFID dan meningkatkan kadar pengesanan tag RFID di plaza tol bagi membolehkan kenderaan melalui lorong RFID dengan lebih pantas.

“Palang tol berganda yang lebih pantas akan dipasang di plaza tol dengan jumlah trafik yang tinggi bagi memastikan kenderaan dapat melalui lorong RFID dengan lebih pantas.

“Lokasi zon pengesanan RFID akan ditandakan pada permukaan jalan bagi membolehkan pengguna memastikan kedudukan kenderaan mereka dengan lebih baik dalam meningkatkan kadar pengesanan yang lebih tinggi ketika melalui lorong RFID,” katanya.

Dalam perkembangan sama, pembantu khidmat pelanggan PLUS akan memberi kupon Touch N Go kepada pelanggan yang mengalami masalah pengesanan RFID di lebuh raya PLUS.

Katanya, pelanggan boleh terus ke mana-mana 24 Pusat Pemasangan Tag RFID di lebuh raya PLUS atau 35 lagi lokasi di luar lebuh raya itu untuk pemeriksaan.

Jika tag didapati rosak, pihak Touch N Go akan menggantikan tag itu secara percuma.

Related posts

Leave a Comment