Omicron : Beban khidmat kesihatan

GENEVA 19 Jan. – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bimbang dengan bebanan yang ditanggung sektor perkhidmatan kesihatan susulan penularan varian Omicron yang terus meningkat.

Ketua Pengarahnya, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata, 18 juta kes baharu Covid-19 dilaporkan bagi tempoh minggu lalu sahaja.

“Omicron kekal mengancam dunia. Minggu lepas 18 juta kes baharu dikaporkan.

Angka kematian kini stabil buat masa ini, tetapi kami bimbang dengan kesan Omicron yang akan membebankan sektor kesihatan dan petugasnya,” katanya.

Dalam taklimat media berkaitan situasi Covid-19, Dr Tedros berkata, walaupun di beberapa negara, kemuncak jangkitan Omicron sudah berlalu, namun ini tidak bermakna ia bebas daripada penularan virus itu.

WHO juga bimbang dengan kumpulan yang belum divaksin dan menggesa supaya  pengedaran vaksin dibuat dengan lebih adil.

Sementara itu, dalam satu kenyataan, WHO menggesa pengeluar vaksin Covid-19 mengeluar data diperlukan berkaitan suntikan bagi tujuan kecemasan.

Kelewatan data ini menjejaskan akses vaksin sama rata.

Senarai penggunaan kecemasan bermakna bekalan boleh dihantar ke beberapa negara membangun yang menggunakan garis panduan WHO untuk kawal selia perubatan.

Ini juga akan membolehkan negara-negara ini memanfaatkan program perkongsian vaksin (COVAX) yang bertujuan mempercepatkan kadar vaksinasi kalangan negara miskin.

Related posts

Leave a Comment