Kluster asrama di Tambunan

KOTA KINABALU 17 Jan. – Seorang pelajar yang tinggal di dalam asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tambunan di sini, mencetuskan kluster baharu Covid-19 membabitkan institusi pendidikan di Sabah.

Kluster Jalan Kepayan Lama-Tambunan itu tercetus selepas pelajar lelaki berumur 18 tahun berkenaan didapati positif Covid-19 selepas menjalani ujian kendiri dan ujian pengesahan Covid-19 RTK-Antigen pada 13 dan 14 Januari lalu selepas bergejala sejak 9 Januari lalu.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Masidi Manjun, berkata ujian saringan kemudiannya dibuat ke atas kontak rapat dalam kalangan rakan seasrama dan mendapati seramai 34 orang lagi positif jangkitan virus berkenaan.

Siasatan lanjut yang dibuat oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) menunjukkan setakat ini jangkitan dan penularan virus terhad dalam kalangan pelajar yang tinggal di asrama yang sama.

Semua pelajar yang terbabit sudah diasingkan untuk rawatan yang sesuai.

Masidi berkata, kluster berkenaan mencatat 36 kes positif Covid-19 termasuk 34 kes yang dilaporkan semalam.

Kluster berkenaan sekali gus menyebabkan kes jangkitan di Tambunan melonjak mendadak ke tangga kedua daripada 27 daerah dengan 36 kes, manakala Kota Kinabalu kekal penyumbang tertinggi jangkitan baharu dengan 47 kes, semalam.

Related posts

Leave a Comment