Kes harian Malaysia turun

PUTRAJAYA 17 Jan. – Selepas enam hari merekodkan lebih 3,000 kes harian, jumlah kes jangkitan Covid-19 hari ini menunjukkan penurunan dengan mencatatkan 2,342 kes setakat pukul 12 tengah hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif kini meningkat kepada 2,810,689 kes.

Daripada jumlah yang dilaporkan hari ini, sejumlah 98.5 peratus adalah pesakit Covid-19 kategori satu dan dua iaitu tidak mempunyai gejala dan bergejala ringan.

Menurut Dr.Noor Hisham, sebanyak 1.5 peratus kes yang dikesan hari ini adalah dalam kategori tiga hingga lima iaitu mempunyai radang paru-paru, memerlukan alat bantuan pernafasan dan kritikal.

Secara keseluruhannya, daripada kes Covid-19 yang masih aktif di negara ini terdapat 184 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) iaitu membabitkan 132 kes disahkan Covid-19 serta 52 kes disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan.

Bagi kes dalam ICU dan memerlukan alat bantuan pernafasan, setakat ini sebanyak 87 kes yang direkodkan. Ia membabitkan 52 kes disahkan COVID-19 serta 35 kes lagi disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan.

Mengenai kes yang direkodkan hari ini, Dr Noor Hisham berkata, ia membabitkan 2,162 kes penularan tempatan dengan 180 kes pula adalah import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Mengenai kluster baharu yang dikesan oleh pihaknya, Dr Noor Hisham memaklumkan terdapat enam kluster baharu yang dikesan menjadikan sehingga kini terdapat 177 kluster masih aktif.

Related posts

Leave a Comment