70 % pesakit di ICU tidak divaksin

LONDON: Kemasukan ke hospital meningkat dan Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS) menghadapi ‘beberapa minggu yang sukar’, kata Setiausaha Kesihatan United Kingdom UK, Sajid Javid.

Beliau menyatakan demikian semasa melawat King’s College Hospital di selatan London, dan menekankan kepentingan mendapatkan vaksin.

Jelasnya, perkara terbaik orang ramai boleh lakukan adalah mendapatkan dos penggalak atau dos pertama dan kedua jika belum mendapatkan vaksin.

Setakat ini, sebanyak 35 juta penduduk negara itu mendapatkan dos penggalak atau dos ketiga.

Semasa lawatannya, Javid diberitahu, dianggarkan 70 peratus pesakit Covid-19 di unit rawatan rapi (ICU) hospital itu tidak menerima sebarang vaksin.

Menurut beliau, Pejabat Statistik Kebangsaan (ONS) UK menganggarkan minggu lalu satu daripada 15 orang di London dijangkiti Covid-19.

Tambah beliau, pihaknya tidak pernah melihat kadar jangkitan seperti itu dengan Covid-19 sebelum ini.

Bagaimanapun, beliau berkata terdapat “tanda-tanda yang baik” apabila membandingkan Omicron dengan varian Covid-19 sebelumnya.

Namun katanya dengan kadar jangkitan yang tinggi walaupun tahap keparahannya rendah, pihaknya menerima kemasukan ke hospital dan memberi amaran kepada orang ramai untuk “kekal berhati-hati”.

Di UK, hampir 180,000 kes baharu direkodkan pada Khamis dan jangkitan Omicron telah memaksa ramai pekerja tinggal di rumah.

Sejumlah 39,142 kakitangan NHS di hospital di England tidak hadir atas sebab Covid-19 pada 2 Januari meningkat 59 peratus daripada minggu sebelumnya.

UK juga telah mengubah peraturan ujian koronavirus untuk mengurangkan jumlah masa individu yang diuji positif perlu mengasingkan diri.

Related posts

Leave a Comment