AS minta rakyat tingkat kewaspadaan

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden meminta rakyatnya meningkatkan kewaspadaan ketika jumlah jangkitan Covid-19 negara itu mencatat rekod baharu.

Biden menegaskan pentadbirannya kini berusaha mengurangkan kebimbangan berhubung kekurangan ujian, penutupan sekolah serta gangguan lain kesan peningkatan kes berkaitan varian Omicron.

Beliau bagaimanapun berkata vaksin penggalak dan ubat terapautik membantu mitigasi daripada ancaman varian Omicron.

“Anda boleh mengawal kesan daripada Omicron, sekiranya dijangkiti varian ini, khususnya mereka yang mendapat suntikan penggalak. Anda masih boleh dijangkiti tetapi kemungkinan untuk menjadi kritikal adalah sangat rendah,” katanya.

Menurut Biden, AS juga mengesan Covid-19 dalam kalangan yang sudah divaksinasi di tempat kerja di seluruh negara, termasuk di White House.

Sementara itu, Pusat Kawalan Penyakit dan Pencegahan Amerika Syarikat (CDC) menganggarkan varian Omicron menyumbang 95.4 peratus kes di negara itu sehingga 1 Januari.

Varian berkenaan menular sejak dikesan pada 1 Disember dan mencetus gelombang jangkitan baharu hingga menyebabkan negara itu melepasi angka jangkitan sejuta kes.

Menurut CDC, varian dikesan menyumbang kepada 77 peratus kes pada hujung minggu 25 Disember, peningkatan daripada 58.6 peratus yang dijangka sebelumnya.

CDC minggu lalu mengurangkan jangkaan kes Omicron pada tempoh 18 Disember ke 22 Disember daripada 73 peratus.

Varian Delta kini menyumbang 4.6 peratus daripada keseluruhan kes di Amerika Syarikat setakat 1 Januari.

Related posts

Leave a Comment