Elak sistem kesihatan lumpuh

PUTRAJAYA 2 Jan. – Kerajaan berusaha memperlahankan penularan gelombang Omicron yang berkemungkinan besar bermula di Malaysia bagi menangani risiko sistem kesihatan awam menjadi lumpuh, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Beliau sehubungan itu memberitahu, Malaysia meletakkan sandaran kepada beberapa ‘perisai’ ampuh seperti memperluaskan liputan dos penggalak, pemakaian pelitup muka dan sistem pengudaraan yang baik sebagai antara langkah memperlahankan penularan Omicron.

“TRIIS (uji, lapor, pengasingan, maklumkan, dapatkan), MySJ Trace dan kawalan pintu masuk antarabangsa juga antara langkah yang diambil kerajaan.

“Ada yang rujuk data kesan Omicron tidak seteruk Delta. Nampak begitu. Tetapi kebolehjangkitan Omicron melebihi Delta.

“Jika denominator (penyebut angka) kes lebih besar, sudah pasti kemasukan hospital dan unit rawatan rapi (ICU) meningkat,” katanya.

Khairy berkata, Kementerian Kesihatan mahu mengelak sistem kesihatan awam lumpuh menerusi strategi memperlahankan (gelombang) Omicron.

Omicron yang berasal dari Afrika Selatan dan dilaporkan kepada WHO pada 24 November tahun lalu kini dikesan di sekurang-kurangnya tujuh negeri di Malaysia, iaitu Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Johor, Pahang, Sarawak dan Sabah.

Hasil saringan dan pengesahan lanjut menerusi ujian jujukan penuh (WGS), Malaysia setakat semalam merekodkan 64 kes Omicron serta lima kluster membabitkan varian berkenaan, selain 35 kontak rapat di 12 daerah.

Mengulas pertikaian orang ramai mengenai kajian keperluan dos keempat, Khairy berkata vaksin Covid-19 dibangunkan ketika tiada varian Delta atau Omicron.

“SARS-CoV2 adalah ‘novel’ coronavirus, yakni virus baharu yang pasti akan melalui mutasi.

“Apabila kita lebih tahu kesan mutasi, tindak balas kita perlu juga berubah. Di sesetengah negara, flu jab (suntikan vaksin selesema) diambil setiap tahun.

“Buat masa ini, kita tahu satu dos penggalak diperlukan. Lebih daripada itu, kita kaji dari semasa ke semasa bila data saintifik baharu muncul,”

Related posts

Leave a Comment