Perancis mahu kuatkuasa pas vaksin

PERANCIS mahu pas vaksin dikuatkuasa sepenuhnya pada pertengahan Januari ini ketika negara itu merekodkan 208,000 kes baharu semalam (Rabu 29 Disember) dengan sebahagian besarnya akibat varian Omicron.

Berikutan itu pengundian bagi rang undang-undang berkaitan pas vaksin ini dijangka dipercepatkan dan jika diluluskan, orang yang tidak divaksinasi tidak lagi boleh menggunakan keputusan ujian negatif untuk mengakses tempat-tempat berkenaan.

Menteri Kesihatan, Olivier Veran mempertahankan rancangan kerajaan untuk membenarkan hanya mereka yang diberi vaksin sepenuhnya menikmati akses berterusan di premis seperti restoran, pawagam, teater, muzium dan arena sukan.

Perancis meningkatkan tekanan terhadap individu tidak mendapat vaksin Covid-19  dengan memperkenalkan pas vaksin yang juga diperlukan untuk kereta api jarak jauh dan penerbangan domestik.

Ia juga sebahagian daripada strategi kerajaan untuk menggalakkan vaksinasi.

Veran berkata rekod jumlah jangkitan itu bermakna lebih daripada dua orang Perancis diuji positif setiap saat dengan menganggarkan kira-kira 10 peratus penduduk telah berhubung baru-baru ini dengan seseorang yang dijangkiti virus itu.

Beliau juga menasihati orang yang paling terdedah yang belum mendapat suntikan penggalak untuk melindungi diri daripada jangkitan.

Related posts

Leave a Comment