PUTRAJAYA 30 Dis. – Kementerian Kesihatan melaporkan 36 kematian baharu akibat jangkitan Covid-19 setakat tengah malam tadi menjadikan jumlah keseluruhan 31,428 orang meninggal dunia daripada 2.74 juta kes positif yang dikesan di negara ini.
Menurut data di portal COVIDNOW, dua daripada 36 kes kematian yang dilaporkan, berlaku di luar hospital (brought-in-dead atau BID).
Kes kematian dilaporkan itu turut melibatkan sejumlah kes tertunggak dengan ada antara kes meninggal dunia beberapa minggu lalu dan baharu dilaporkan berikutan proses pengesahan sama ada pesakit meninggal akibat pandemik.
Sementara itu, terdapat 41,682 kes aktif Covid-19 di seluruh negara dan daripada jumlah itu, 34,781 individu atau 83.4 peratus daripadanya sedang menjalani kuarantin di rumah.
Seramai 3,065 orang ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC), 3,548 kes di hospital dan 288 ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) di mana 126 memerlukan bantuan pernafasan dan 162 lagi memerlukan mesin ventilator.
