Kes jangkitan harian Arab Saudi 744

RIYADH 29 Dis. – Kerajaan Arab Saudi mewajibkan semula pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal di kesemua tempat tertutup dan terbuka bermula Khamis ini berikutan lonjakan kes harian Covid-19 yang hari ini melebihi 700 kes.

Agensi Berita Saudi (SPA) yang memetik sumber Kementerian Dalam Negeri Saudi melaporkan peraturan itu akan bermula 7 pagi 30 Disember.

Peraturan itu – memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal turut melibatkan petugas dan jemaah di Masjidilharam Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah.

Pada Oktober lepas, Arab Saudi mengumumkan beberapa kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 antaranya individu yang sudah divaksin sepenuhnya tidak perlu lagi memakai pelitup muka di tempat awam terbuka.

Kementerian itu menjelaskan, semua prosedur dan arahan semasa tertakluk kepada penilaian berterusan oleh pihak berkuasa kesihatan, berdasarkan perkembangan situasi epidemiologi tempatan dan global.

Sementara itu, Arab Saudi merekodkan 744 kes baharu, satu peningkatan berbanding 602 yang direkodkan semalam. Bagaimanapun jumlah kematian kekal satu kes.

Dengan perkembangan ini jumlah keseluruhan kes di Arab Saudi meningkat kepada 554,665 kes dengan 8,874 kematian.

Daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 187 direkodkan di Riyadh disusuli Makkah (155), Jeddah (149), Hofuf (32), Madinah (22), Al-Mubarraz (22), Al-Khobar (18), Arar (16) dan and 14 in Dammam (14).

Jumlah kes sembuh pula meningkat kepada 541,388 selepas 231 lagi pesakit dilaporkan sembuh manakala dalam kalangan kes aktif, sebanyak 43 dalam keadaan kritikal.

Related posts

Leave a Comment