Peningkatan kes di Eropah

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran berhubung peningkatan kes Covid-19 di Eropah di mana jangkitan meningkat tiga kali ganda daripada yang dilaporkan pada minggu pertama Mac.

Perkembangan itu mungkin akan menyebabkan sistem kesihatan di benua berkenaan tidak dapat lagi menampung jumlah pesakit.

Ketua teknikal Covid-19 WHO, Dr Maria Van Kerkhove menyatakan rasa bimbang kerana sistem kesihatan Eropah akan lumpuh dengan jangkaan musim selesema tidak lama lagi.

“Ia bukan semata-mata mengenai peningkatan kes yang berlaku. Ia juga mengenai peningkatan kes kemasukan di hospital dan mereka yang dirawat di unit rawatan rapi.

“Kapasiti mereka akan mencapai kemuncak dalam tempoh beberapa minggu lagi, dengan musim selesema tidak lama lagi,” jelasnya di sidang media di Geneva.

Beliau mengingatkan, negara-negara di Eropah perlu melaksanakan langkah ketat untuk menghentikan penularan Covid-19.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Program Kecemasan WHO, Dr Mike Ryan berpendapat, setiap negara perlu melaksanakan pendekatan berbeza mengikut kesesuaian di negara masing-masing.

“Setiap negara mempunyai pendekatan berbeza, setiap negara perlu menentukan apakah penjarakan sosial yang boleh dilaksanakan dalam konteks hubungan.

“Sweden contohnya mahu mengekang virus dan mereka mempunyai pendekatan berbeza. WHO tekankan sebelum ini pemakaian pelitup muka adalah penting untuk menghentikan penularan virus ini, khususnya ketika anda mencatat penularan kalangan komuniti yang meluas,” katanya.

Sementara itu, di COPENHAGEN, negara-negara Eropah mengambil langkah-langkah baru yang ketat untuk cuba mengekang lonjakan jangkitan Covid-19.

Pada satu sidang media di Copenhagen, pengarah wilayah WHO bagi Eropah, Hans Kluge, berkata sudah tiba masa untuk ‘meningkatkan langkah-langkah’ kerana jumlah kes yang meningkat di benua itu ‘sangat membimbangkan’.

Peta yang diterbitkan oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (ECDC) EU semalam menunjukkan label merah untuk kadar penularan dan ujian positif Covid-19 yang tinggi di lebih separuh daripada 31 negara yang dipantau, termasuk di negara bukan anggota EU.

Ketika penyakit ini terus menular, berjuta-juta penduduk di England berdepan sekatan lebih ketat, termasuk larangan bercampur terhadap isi rumah.

Sementara itu, Ratu Elizabeth II membuat penampilan umum pertama di luar kediamannya sejak bermulanya pandemik itu, tanpa memakai pelitup semasa lawatan ke makmal rahsia penyelidikan kerajaan Britain.

Paris dan lapan kota Perancis yang lain pula akan dikenakan perintah berkurung manakala di Jerman terdapat batasan baharu untuk jumlah orang berkumpul di satu-satu acara.

Pemerintah Poland mengumumkan penutupan sebahagian bandar besar di zon ‘Merah’, meminta orang ramai supaya bekerja dari rumah, jika boleh manakala menteri kesihatan Switzerland, Alain Berset berkata, keadaan di negara itu ‘semakin merosot lebih cepat daripada di tempat lain’.

Kedua-dua negara berdepan tahap jangkitan baru Covid-19 yang mencatat rekod baru.

Related posts

Leave a Comment