AS lulus pil anti Covid-19

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS), meluluskan penggunaan pil anti Covid-19 keluaran Pfizer bagi golongan berisiko tinggi dan berusia 12 tahun ke atas, susulan lonjakan kes jangkitan varian Omicron.

Pil Paxlovid diluluskan penggunaan semasa kecemasan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) selepas ujian klinikal menunjukkan ia berupaya mengurangkan risiko kemasukan ke hospital dan kematian dalam kalangan individu berisiko sebanyak 88 peratus.

“Tindakan hari ini adalah bukti di sebalik kekuasaan sains dan hasil inovasi serta kemampuan sebenar Amerika,” kata Presiden Joe Biden dalam satu kenyataan pada Rabu sambil berjanji membantu meningkatkan pengeluaran Pfizer secepat mungkin.

Penyelaras Rumah Putih, Jeff Zients, berkata AS setakat ini membelanjakan AS$5.3 bilion (S$7.2 bilion) untuk mendapatkan 10 juta rawatan lengkap menggunakan pil Paxlovid, dengan penghantaran pertama sebanyak 265,000 bakal diterima pada Januari ini manakala bakinya dijadual sampai menjelang akhir musim panas.

FDA menegaskan rawatan menerusi pil berkenaan bertindak sebagai pelengkap, dan bukan pengganti vaksin yang sehingga kini kekal sebagai kaedah utama dalam memerangi Covid-19.

Pil yang sedia dijual di farmasi juga lebih mudah diakses berbanding rawatan antibodi sintetik yang perlu dikendalikan di hospital atau pusat khas.

Badan kawal selia ubat Kesatuan Eropah (EU) minggu lalu membenarkan negara anggota menggunakan pil keluaran Pfizer sebelum mendapat kelulusan rasmi sebagai langkah kecemasan, dalam usaha membendung gelombang jangkitan varian Omicron.

Kebenaran itu diberikan susulan peningkatan kes di AS, yang berpunca daripada Omicron, iaitu varian paling mudah menjangkiti sehingga kini.

Jangkitan akibat varian Omicron membentuk 90 peratus daripada semua kes di beberapa wilayah Amerika, kata pengarah CDC Rochelle Walensky kepada wartawan.

Related posts

Leave a Comment