Kes baharu tinggi di Australia

MELBOURNE 18 Dis. – Australia melaporkan rekod tinggi kes baharu Covid-19 buat hari ketiga berturut-turut hari ini dengan penularan makin meluas di dua wilayah paling ramai penduduk.

Wilayah New South Wales melaporkan 2,482 kes baharu , Victoria melaporkan 1,504 kes baharu manakala Queensland melaporkan 31 kes baharu hari ini, secara keseluruhannya mengatasi jumlah kes tertinggi sebelum ini di Austalia – iaitu 3,820 kes yang dicatat sehari sebelumnya.

Perdana Menteri Scott Morrison menekankan bahawa perhatian sepatutnya ditumpukan kepada jumlah kemasukan ke hospital dan unit jagaan rapi (ICU) serta yang memerlukan bantuan pernafasan, bukan pada jumlah keseluruhan kes ketika negara itu beralih untuk hidup bersama virus itu.

Setakat ini kata beliau, kenaikan kes di New South Wales tidak menambah tekanan ke atas hospital-hospital, memandangkan hanya 26 orang memerlukan jagaan intensif.

Semasa satu sidang media di Hobart, di wilayah Tasmania, Morrison menekankan keadaan di Australia tidak serupa dengan yang dihadapi di United Kingdom, Eropah atau Amerika Utara, di mana jumlah kes sedang melonjak.

Dalam langkah terbaru melonggarkan sekatan pandemik, pelawat antarabangsa yang sudah lengkap divaksin yang tiba di Sydney dan Melbourne tidak perlu lagi mengasingkan diri selama 72 jam,

Pelawat yang tiba mendapatkan ujian PCR dalam masa 24 jam selepas ketibaan, tetapi hanya perlu mengasingkan diri sehingga mereka menerima keputusan ujian negatif.

Australia menutup sempadannya sejurus selepas Covid-19 melanda pada 2020, yang membantu negara itu mengekalkan kes Covid-19 yang agak rendah berbanding negara maju lain. 

Australia setakat ini mencatat sekitar 239,000 kes dan sekitar 2,130 kematian..

Related posts

Leave a Comment