SINGAPURA 16 Dis. – Penerima dua dos vaksin Covid-19 Sinovac mempunyai perlindungan lebih rendah terhadap penyakit teruk akibat varian Delta.
Satu kajian di Singapura mendapati mereka yang disuntik dengan vaksin mRNA seperti Pfizer-BioNTech atau Moderna mempunyai perlindungan lebih tinggi.
Kajian itu meneliti data lebih 1.2 juta orang berusia 40 tahun dan ke atas yang telah lengkap divaksin.
Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID) dan pasukan Pengurusan dan Analitik Data di bawah Kementerian Kesihatan (MoH), yang menjalankan kajian itu mendapati bahawa dua dos vaksin Sinovac adalah 60 peratus berkesan terhadap penyakit teruk akibat Covid-19.
Penyakit teruk merujuk kepada mereka yang memerlukan bantuan oksigen atau dimasukkan ke unit jagaan rapi (ICU) serta yang menyebabkan kematian.
Sementara itu keberkesanan vaksin Pfizer-BioNTech dan Moderna pada dos yang sama masing-masing adalah 90 peratus dan 97 peratus.
Kajian itu menyarankan mereka yang sudah mendapat dua suntikan Sinovac agar mendapatkan vaksin Pfizer atau Moderna sebagai dos ketiga.