SHAH ALAM 16 Dis. – Sebuah kilang selenggara jentera berat dipercayai menjadi punca pencemaran bau seakan diesel di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih (Jenderam Hilir), awal pagi tadi.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan dan Alam Sekitar, Hee Loy Sian, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menerima maklumat mengenai pencemaran itu daripada Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd pada pukul 8.45 pagi.
Beliau berkata, siasatan LUAS berhampiran sebuah premis kilang yang menyelenggara jentera berat mengesan pelepasan efluen mengandungi air basuhan termasuk cecair seperti minyak yang disyaki mengalir ke pembentung sebelum memasuki Sungai Semenyih.
Dalam kenyataannya, beliau berkata LUAS sudah mengaktifkan Kod Kuning berdasarkan Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air bagi siasatan menyeluruh.
“Inisiatif pencegahan dipertingkatkan dengan meletakkan empat beg serbuk karbon teraktif dan perangkap minyak bagi menahan sisa minyak daripada masuk ke dalam Sungai Semenyih,” katanya.
Katanya, anggaran jarak lokasi pencemaran berkenaan adalah 1.5 kilometer (km) di hulu muka sauk Jenderam Hilir.
“Tindakan kawalan segera di tapak dalam tempoh kurang empat jam membolehkan LRA Sungai Semenyih beroperasi semula pada jam 12.30 tengah hari tadi,” katanya.
Beliau memberitahu, Majlis Perbandaran Sepang (MPS) turut memaklumkan premis kilang yang menyelenggara jentera berat itu akan disita dan LUAS sudah membuat laporan di Balai Polis Seksyen 15, Shah Alam.